Thursday, November 10, 2011

perbaikilah diri..

Persoalannya,

Bagaimanakah pula nilai pengorbanan pada kita? Adakah hanya menumbangkan seekor lembu sudah dikira pengorbanan yang sebenar-benarnya? Sangat jauh lagi untuk kita gapai jika hanya itu sekadar pengorbanan yang kita faham.

Dalam konteks kita sendiri. Hamba dengan Pencipta kita sebagai contoh. Apakah terdapat pengorbanan yang kita persembahkan buat Kekasih kita yang telah memberikan kita segala-galanya? Apakah terdapat sesuatu yang kita lakukan tanda kita mencintaiNya? Jom koreksi diri.

Kadang-kadang kita menyatakan cinta. Tetapi perbuatan kita, ucapan kita, jarang sekali memaksudkan apa yang kita katakan. Sedarkah kita? Kita mengaku kita cinta kepada Allah, tapi dalam masa yang sama kita juga lokek dalam memperuntukkan masa kita denganNya. Tak mahu korbankan masa. Takut ketinggalan pula drama di televisyen.

Kita mengaku sebagai umat Nabi Muhammad, tetapi sangat berkira untuk berkorban dan bersama-sama dalam perjuangan yang diwariskan oleh baginda. Takut jika masa diluangkan untuk menyampaikan dakwah islam, tidak sempat pula nak bersuka ria.

Begitukah kita? Sungguh berbeza hati dan mulut kita. Mulut menuturkan sayang dan cinta, tapi hati tidak rela untuk berkorban deminya. Salahkah kita jika berkorban masa seminit dua untuk berzikir dan meletakkanNya dalam hati kita. Susahkah untuk berkorban tenaga dan masa untuk berdakwah mengajak manusia. Sungguh berkira rupanya kita.

Kesimpulan

Pengorbanan itu tidak akan menjelma melalui diri yang selalu berkira. Berkira untuk sedekah. Berkira untuk beribadah. Berkira untuk berselawat pada Rasulullah. Dan berkira dalam melakukan setiap hal. Tidak akan lahir rasa ingin berkorban jika diri selalu berkira-kira. Lalu apakah nilai pengorbanan pada kita jika kitalah orang yang berkira itu? Tiada. Ya, tiadalah nilai yang dapat kita capai. Orang yang berkira sudah tentu susah dan mungkin sekali tidak mahu langsung berkorban. Jadi, masakan pula orang yang tidak berkorban dapat merasa nilai pengorbanan itu? Tentu tidak, bukan?

Begitulah. Diri kita yang menentukan sejauh mana nilai pengorbanan itu pada diri kita. Semakin tinggi kita berkorban, semakin tinggilah nilai pengorbanan tersebut. Dan begitulah sebaliknya. Untuk permulaan bagi meningkatkan momentum pengorbanan kita, hayatilah kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dengan sebenar-benar penghayatan. Penghayatan sehingga mampu meningkatkan momentum pengorbanan dalam diri kita untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Dan juga pengaplikasiannya dalam memperjuangkan islam, satu-satunya agama yang Allah redhai.

Semoga dengan sebingkis peringatan ini, kita sama-sama mendapatkan manfaat dan kebaikannya. InsyaAllah.

Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau (ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu dirikanlah solat kerana Tuhanmu ( pada Hari Raya Haji) dan sembelihlah (binatang) korbanmu (sebagai ibadah dan mensyukuri nikmat Tuhanmu)."(Surah al-Kauthar : ayat 1-2)

No comments:

Post a Comment